Rabu, 17 Ogos 2011

BSN SUNTIK RM300 RIBU UNTUK PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN

"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
           (THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

Oleh Mohamad Suffian Jikiman dan Nur Azali Mizman
Gambar: Shamsaimi Ezil 



UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima suntikan berjumlah RM300,000 hasil sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang akan digunakan untuk Tabung Aktiviti Pembangunan Keusahawanan Pelajar UUM dan pelbagai aktiviti pelajar di Dewan Penginapan Pelajar.

Dana tersebut diperolehi melalui Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai antara kedua belah pihak sekali gus menjadikan BSN sebagai rakan industri terbaru UUM dalam usaha universiti terbabit menjalinkan kerjasama korporat dengan syarikat gergasi termasuk institusi perbankan.

Pelaburan yang akan memberi tumpuan dari aspek pembangunan program keusahawanan, pembangunan pelajar dan lain-lain aktiviti yang memberi manfaat kepada pelajar.

Menurut Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Konsumer dan Pembangunan Pelanggan BSN, Yunos Abd Ghani, inisiatif yang diberikan itu bagi meningkatkan hubungan dua hala antara BSN dan UUM untuk menjalinkan kerjasama lebih serius.

Katanya, sebagai salah sebuah industri perbankan yang telah bertapak hampir 30 tahun di Malaysia, BSN sentiasa komited dalam menyediakan kemudahan perbankan agar dapat dinikmati seluruh rakyat di negara ini.

“Di samping memberi akses terbaik kepada rakyat, BSN juga tidak lupa untuk mempelbagaikan produk dan menambahbaikkan perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang ramai.

“Melalui kerjasama ini, diharap pihak UUM terutama pelajar dapat mengenali BSN dengan lebih dekat melalui program, produk dan perkhidmatan perbankan yang disediakan BSN.

“Ia juga adalah pelantar untuk cendekiawan dari UUM dan pelajar-pelajarnya mengetahui lebih lanjut berhubung peranan BSN bagi membolehkan pelajar-pelajar menjadikan BSN antara majikan pilihan mereka setelah tamat pengajian,” katanya ketika majlis menandatangani MoA tersebut di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir Naib Canselor UUM, Prof Dato’ Dr Mohamed Mustafa Ishak. serta wakil dari kedua-dua pihak.

Bagi Dr Mohamed Mustafa, menyifatkan MoA yang ditandatangani itu sebagai kerjasama pintar untuk meneroka pelbagai bidang dengan institusi tersebut pada masa depan.

“Di UUM, kita ada menawarkan program seperti perbankan, kewangan dan pengurusan yang mana program-program akademik yang ditawarkan ini berkaitan dengan BSN (institusi perbankan). 

“Hubungan universiti dengan rakan industri sangat penting kerana kedua-dua pihak mendapat manafaat dan faedahnya.

“Justeru, sumbangan yang diberikan ini adalah platform untuk melatih usahawan dari kalangan mahasiswa yang mana dana tersebut akan dipantau serta diuruskan sendiri oleh wakil dari BSN,” katanya.

Dalam majlis itu juga, UUM turut menamakan sebuah kolej kediaman pelajar iaitu Dewan Penginapan Pelajar (DPP) kepada nama institusi perbankan tersebut untuk ‘mendekatkan’ lagi institusi tersebut di kalangan pelajar.

Ia adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilakukan BSN untuk menjaga kebajikan seramai 702 pelajar yang mendiami DPP tersebut yang merangkumi pelbagai aspek. DPP BSN sebelum ini dikenali sebagai DPP Perwaja.

Selaras dengan motto Universiti Pengurusan Terkemuka di negara ini, UUM sedang berusaha untuk menarik sekurang-kurangnya 8,000 hingga 10,000 pelajar asing untuk melanjutkan pengajian mereka di universiti terbabit.

Tambah Mustafa, biarpun lokasi UUM yang jauh dari ibu kota, namun UUM mencatatkan jumlah pelajar luar negara yang kedua tertinggi menuntut di universiti terbabit yang ketika ini berjumlah 3,000 orang.

“Biarpun ia satu jumlah yang agak besar namun saya yakin yang kita akan mampu menarik minat pelajar asing menuntut di UUM kerana kita sedang berusaha untuk merealisasikan sasaran tersebut bermula sekarang.

“Ia juga selaras dengan dasar pendidikan negara yang ingin menjadikan Malaysia hub pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara menjelang 2015,” katanya.
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hadith Pilihan