Ahad, 22 April 2012

TIADA KEJAYAAN YANG TIDAK DIRANCANG

 
Oleh: Muhammad Mustakim Ramli
Gambar oleh: Zamarizul Salleh




Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Ahmad Zaini Japar berkata, setiap kejayaan yang diperolehi seseorang individu bukan diperolehi dengan mudah tetapi perlu dirancang dan perlu berusaha untuk mencapainya.

“Tiada kejayaan yang tidak dirancang, kerana dalam tuntutan kejayaan, kita perlu mencari dan berusaha mendapatkannya kerana setiap orang yang berjaya di dunia ini terbukti merancang perjalanan kehidupan mereka untuk berjaya.

“Setiap dari kita perlu menggunakan kebijaksanaan yang diberikan oleh Allah dengan membuat pengisian untuk berjaya, kerana kita lahir dengan tiada apa-apa dan kita perlu mengisinya dengan perancangan untuk berjaya,” ujar beliau kepada fasilitator Universiti Utara Malaysia (UUM) dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Baling, di Majlis Penutup Program Motivasi SMK Baling 2012, baru-baru ini.

Sementara itu, pelajar tingkatan lima, Nur Fatin Amelia Mahadi berkata, penganjuran program seperti ini dapat membantunya merancang cara belajar yang lebih berkesan sebagai persediaan untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Banyak pengalaman berharga yang saya perolehi sepanjang tiga hari berada di sini, suasana dan persekitaran kampus ini menyemarakkan lagi semangat saya untuk berusaha melanjutkan pelajaran ke menara gading dan UUM adalah universiti pilihan saya untuk menyambung pelajaran nanti,” ujar pelajar tingkatan enam, Nurul Naudah Abdullah.

Program anjuran Dewan Penginapan Pelajar Bank Simpanan Nasional (DPP BSN) dengan kerjasama Persatuan Bekas Pelajar SMK Baling ini melibatkan 420 pelajar yang telah berlangsung dari 5 hingga 7 April yang lalu.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan DPP TM tersebut ialah, Presiden Persatuan Bekas Pelajar SMK Baling, Alias Hamid dan Pengetua DPP BSN, Shahrin Ahmad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hadith Pilihan